Dr M jangan ghairah kritik BN guna angka tak logik


KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terlalu ghairah mengkritik kerajaan sehingga membahayakan ekonomi negara.

Beliau berkata, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ketika cuba mencemarkan nama baik musuh politiknya dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), membayangkan Malaysia akan bankrap.

“Semua angka yang beliau lontarkan tidak logik kerana ia tidak sama dengan laporan rasmi mengenai keadaan fiskal, ekonomi, keluaran dalam negara kasar (KDNK), hutang negara dan sebagainya.

“Mungkin beliau lupa ketika beliau menjadi perdana menteri, Malaysia hampir jatuh muflis jika bukan kerana pinjaman luar yang beliau ambil dari negara seperti Singapura.

“Pun begitu, tiada orang mempersoalkan keputusan berkenaan ketika itu,” katanya kepada FMT.

Berbanding zaman Dr Mahathir, Ramlee berkata, ekonomi negara ketika ini dalam keadaan lebih baik dengan pertumbuhan dan pendapatan pada tahap mengagumkan.

Katanya, dakwaan Dr Mahathir yang hutang kerajaan mencecah RM3.3 trilion akan menjadikan nisbah hutang kepada KDNK negara menghampiri 300% dan tertinggi di dunia.

Ketika ini, katanya, nisbah hutang kepada KDNK negara berada pada tahap 50.7%.

Nisbah itu untuk mengukur kedudukan hutang berbanding output ekonomi sebuah negara dan nisbah lebih rendah menandakan ekonomi negara itu lebih baik.

Timbalan ketua penerangan Umno Sabah berkata, berbeza dengan dakwaan hutang “besar” kerajaan, nisbah itu dianggap sihat berbanding zaman Dr Mahathir yang mencecah 103.4%.

Katanya, pengerusi PPBM itu tidak patut meneruskan dakwaannya dengan memetik angka sesuka hati kerana tindakan itu boleh mengancam negara.

“Semua orang tahu niat beliau untuk menjadi perdana menteri semula, tetapi beliau tidak patut membahayakan ekonomi negara hanya kerana mahu rakyat menerima ahli politik kitar semula.

“Selain itu, umum tahu matlamat terakhir Dr Mahathir ialah menjadikannya anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.”

Beliau berharap hasrat Dr Mahathir tidak akan menjadi kenyataan kerana jika sebaliknya berlaku, Sabah dan rakyatnya akan kembali menderita seperti ketika beliau menerajui negara selama 22 tahun.

“Sudah tentu kami akan menderita kerana Dr Mahathir pasti akan membalas dendam terhadap kami.” FMT

Comments