Umno Sabah: Shafie akan pijak semua orang untuk capai matlamat


KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Umno Sabah memberi amaran satu-satunya matlamat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal ialah menjadi ketua menteri Sabah.

Timbalan Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Ramlee Marahaban menasihatkan ahli Warisan menerima hakikat bekas menteri persekutuan itu hanya menggunakan mereka untuk mencapai cita-cita peribadinya.

Katanya, Ismaily Bungsu yang dilantik Shafie sebagai pengarah komunikasi menerusi catatan panjang lebar di Facebooknya mempertahankan ahli Parlimen Semporna itu dengan memujinya ahli politik yang bersih dan berani.

Beliau berkata, Ismaily perlu mengawal dirinya dan menjadi lebih matang ketika bermain politik, bukannya menggelarnya (Ramlee) “lembu”.

“Penggunaan perkataan bahasa kasar dalam tulisannya menunjukkan beliau tidak matang dari segi politik, emosi dan berfikiran sempit.

“Beliau bercakap seperti seorang pakar dalam politik Sabah, sedangkan beliau tidak pernah memberi sebarang sumbangan kepada Sabah dan rakyatnya.

“Bukan niat saya untuk merendahkan sesiapa, tetapi memang senang cakap daripada melakukannya. Sesiapa sahaja boleh cakap apa mereka mahu, tetapi merealisasikannya ialah perkara lain,” katanya kepada FMT.

Ismaily menerusi catatannya membidas Ramlee yang mendakwa Shafie tikam belakang dan tidak bersyukur kepada Umno, parti yang pernah membantunya dahulu.


Ramlee berkata, selaku ahli Umno, beliau berhak mempertahankan integriti parti dan pemimpin yang dipilih ahli parti itu.

“Ketika Shafie berada dalam kapal sama, saya tidak pernah mengkritik beliau. Tetapi, kini beliau ialah presiden Warisan, berjuang menentang Umno. Kenapa saya perlu puji beliau?”

Ramlee yang juga adun Bugaya berkata, kenyataan kononnya Shafie ialah ahli politik berani dan bersih hanya retorik politik Warisan kerana jika ia benar, beliau tidak akan disiasat pihak berkuasa.

Pembantu menteri kewangan Sabah itu berkata, ironinya Shafie sebenarnya digugurkan daripada Kabinet kerana terlalu banyak aduan mengenai rasuah terhadapnya ketika beliau menjadi menteri kemajuan luar bandar dan wilayah.

Tambahan, katanya, Shafie hanya mula bercakap mengenai 1MDB selepas beliau sedar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menggantikannya dalam rombakan Kabinet pada 2015.

“Ketika berkuasa, beliau gembira memuji kerajaan hingga ke bulan. Tetapi, beliau mula memberontak, mendakwa Najib merasuah dan mengabaikan Sabah apabila impiannya menjadi ketua menteri Sabah tidak dipenuhi.

“Beliau lupa Najib memberi begitu banyak kepada Sabah, termasuk projek bernilai RM7 bilion di bawah kementeriannya sendiri. Bukan itu sahaja, Najib ialah satu-satunya perdana menteri yang terbuka mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ramai pemimpin kita yang memegang jawatan strategik dalam Kabinet perlu berterima kasih kepada rakyat Sabah dan Sarawak atas sokongan berterusan mereka kepada BN.

“Bolehkah Shafie namakan perdana menteri lain yang memberi tumpuan kepada Sabah seperti Najib?”

Ramlee memberi amaran kepada Ismaily yang Warisan hanya batu loncatan Shafie untuk mencapai cita-citanya menjadi ketua menteri Sabah.

“Saya sudah lama kenal Shafie. Saya tahu permainannya. Hanya kerana Ismaily berada dalam parti sama seperti Shafie sekarang, beliau tiada hak untuk menggelar saya lembu.”

Katanya, jika benar Shafie mahu menyumbang kepada Sabah, beliau sepatutnya berbuat demikian ketika menjadi menteri persekutuan dan diberikan dana RM7 bilion untuk membangunan kawasan luar bandar di Sabah serta Sarawak.

“Tetapi, adakah beliau menjalankan semua projek dengan betul? Malah hari ini, semua orang ingin tahu apa yang berlaku kepada dana itu.” FMT

Comments