‘Pembangkang guna media sosial tutup kejayaan BN tadbir Sabah’


SEMPORNA: Parti pembangkang melalui laman media sosial berusaha menutup kejayaan serta kesungguhan kerajaan mentadbir negeri dengan menonjolkan berita palsu, fitnah dan putar belit yang direka, termasuk isu bajet untuk melemahkan kerajaan Barisan Nasional di Sabah.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban berkata, baru-baru ini, Parti Warisan Sabah membangkitkan isu bajet negeri 1978 dengan bajet 2018 adalah sama, tetapi ternyata isu tersebut memakan diri presidennya apabila perbandingan bajet yang dibangkitkan itu tidak betul.

“Ini mainan parti Warisan untuk lari daripada isu yang menghentam presidennya (merujuk kepada Datuk Seri Shafie Apdal),” katanya pada Majlis Sangom Pangentoman (Peringatan) Anugerah Cemerlang dan Jasamu Dikenang hari ini.

Ramlee yang juga timbalan ketua penerangan Umno Sabah berkata, sikap parti pembangkang yang semberono itu jelas menunjukkan mereka tidak pernah komited untuk membangunkan rakyat dan daerah.

“Bagaimana hendak membuat perubahan jika pemimpin mereka lebih gemar bermain isu untuk mengelirukan rakyat dan terpaksa mencanangkan untuk membeli calon,” katanya.

Sementara itu, Ramlee berkata, kajian sikap terhadap pengundi di kawasan Semporna terhadap Umno ketika ini dalam keadaan positif, sekaligus menyifatkan sambutan serta sokongan akar umbi dan ahli parti tidak memperlihatkan kebimbangan, sebaliknya kekuatan dan kesepaduan semakin utuh.

“Kita tidak merendahkan pihak pembangkang yang penuh angan-angan menyatakan mereka akan menang besar di Semporna, tetapi ini realiti, kita berpuas hati dengan sokongan dan sambutan masyarakat pada masa ini.”

Katanya, Umno tidak berada dalam keadaan gelap atau kelabu di Semporna seperti didakwa sesetengah pihak kerana penduduk tahu menilai parti yang terbukti berjasa membangunkan masyarakat dan negara.

Adun Bugaya itu berkata, Umno bahagian itu bersedia melawan dan mempertahankan semua kerusi di kawasan ini pada pilihan raya umum akan datang.FMT

Comments