‘Ada anak Sabah tikam belakang orang beri dia makan’


Perwakilan Umno Sabah Datuk Ramlee Marhaban menyindir seorang bekas pemimpin parti dari negeri itu yang disifatkan sebagai pengkhianat selepas menikmati sokongan mereka.

“Walaupun seorang anak Sabah pernah diberikan kementerian yang strategik, kementerian yang baik, tapi sebenarnya sayang seribu kali sayang orang itu bila diberikan jawatan berkenaan, dia tikam orang yang memberi makan kepadanya.

“Inilah sebenarnya yang saya maksudkan dengan orang diberi tetapi tidak berterima kasih,” katanya ketika perbahasan ucapan dasar Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ramlee berkata indivdu itu juga diberi jawatan yang tidak pernah disandang oleh anak Sabah sebelum itu.

“Dia telah diberikan peluang menyandang jawatan naib presiden yang tidak pernah diberikan kepada orang Sabah sebelum itu, tidak cukup lagi turut diberikan jawatan dalam kementerian yang paling strategik di negara kita khususnya di Sabah.

“Bukan sekadar gigit, dia tikam belakang,” katanya.

Beliau tidak menamakan individu tersebut, namun sindiran itu dipercayai merujuk kepada bekas naib presiden dan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, yang meninggalkan Umno untuk menubuhkan Parti Warisan Sabah.

Beliau merupakan anak Sabah pertama yang memegang jawatan naib presiden Umno, selepas menang pemilihan parti pada 2010 dan sekali lagi pada 2013. Beliau dilantik menteri sejak 2004 sehinggalah digugurkan dari Kabinet pada 25 Julai 2015.

Comments