Jangan alih isu, gesa Musa Aman kepada Shafie Apdal

SHAFIE Apdal sepatutnya membenarkan dahulu agensi anti rasuah menyiasat dakwaan penyelewengan dana kerajaan di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan bukannya cuba mengalihkan perhatian dengan menyerang orang lain, kata Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Katanya, SPRM seharusnya dibiarkan menjalankan siasatan tanpa gentar dan memihak, dan tentunya bukan juga dengan gembar-gembur penuh drama.

Musa memberi nasihat itu beberapa jam selepas Shafie, semasa membahaskan Bajet 2018 di Parlimen, mengaitkan dirinya dengan sebuah projek yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Musa, Shafie sepatutnya lebih "gentleman" dan tidak menggunakan imuniti parlimen serta mengalihkan tumpuan daripada perhatian yang sedang diberikan kepadanya.

Shafie seeloknya lebih tenang menangani keadaan dan bukannya melemparkan tuduhan dan cuba membabitkan orang lain, kata Musa.

"Tidak perlu hendak gelabah. Tidak ada apa yang hendak ditakutkan kalau tidak salah, seperti kata peribahasa Melayu, berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya dalam satu kenyataan media, lewat petang ini.

Shafie hari ini mendedahkan anak saudara Musa yang sebenarnya ada kaitan dengan projek loji rawatan air di Sungai Intan, Semporna yang kini sedang disiasat oleh SPRM.

"Mungkin sesetengah orang ada masa untuk merungut dan gembar-gembur di merata tempat tapi saya tidak sebab saya ada negeri yang hendak dijaga," tambah Musa.

Dalam ucapan perbahasannya Shafie berkata beliau ditohmah mendapat projek loji rawatan air itu melalui syarikat proksi sedangkan tender yang dibuka diberikan kepada anak buah Musa.

Shafie juga mendedahkan nama Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sabah, Shahelmey Yahya sebagai perunding projek.

Sementara itu, Shahelmy yang disebut oleh Shafie sebagai perunding projek loji rawatan air Sungai Intan enggan mengulas perkara yang dibangkitkan kerana masih dalam siasatan SPRM.

"Saya bimbang sekiranya saya cakap apa-apa ia boleh mendatangkan prejudis dan menjejaskan siasatan," katanya kepada The Malaysian Insight.

Comments