Tidak wajar kaitkan Bajau, Suluk Sabah dengan militan


SEMPORNA – Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marahaban hari ini menyelar tindakan pihak tertentu yang menuduh kaum Bajau dan Suluk di negeri itu melindungi militan dari selatan Filipina atas dasar hubungan kekeluargaan.

Katanya dakwaan itu bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak wajar memandangkan kedua-dua kaum tersebut turut terlibat dalam berjuang dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Logiknya, setiap perbuatan jahat ini tidak akan dilindungi walau kita sebangsa, kita satu agama,” katanya kepada pemberita selepas majlis korban Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) bersama masyarakat Zon Simunul, di sini hari ini.

Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini yang memetik sumber perisikan  bahawa anggota militan dari selatan Filipina lari ke negara ini dan dilindungi anggota keluarga keturunan Bajau dan Suluk yang telah lama menetap di Sabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata dakwaan itu turut menjatuhkan imej kedua-dua kaum tersebut kerana seolah-olah bersubahat dengan militan dari selatan Filipina.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ramlee meminta penduduk setempat terus menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan mencurigakan kepada pasukan keselamatan bagi memastikan kedaulatan negara terus terjamin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom, Noor Alam Khas A. Wahid Khan yang turut hadir, berkata sehingga kini masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah memberikan maklum balas yang baik terhadap sebarang program yang dilaksanakan oleh ESSCom. BERNAMA

Comments