Rancakan ekonomi melalui Wifi percuma , Ketua Menteri Sabah



KOTA KINABALU: Kemudahan jalur lebar tanpa wayar atau Wifi secara percuma di sini dapat menggalakkan perkembangan ekonomi digital Sabah serta memberi sokongan kepada pembangunan industri pelancongan negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

Beliau berkata, kemudahan itu menjadi landasan dalam mewujudkan inisiatif awam yang bertujuanmemantapkan rangkaian digital e-kerajaan pada masa depan.

“Di samping itu, saya yakin ia (kemudahan jalur lebar tanpa wayar) akan berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing  secara langsung selain (dapat membantu) memajukan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya mesra perniagaan, dan selesa didiami serta dilawati,” katanya semasa pelancaran kemudahan        WiFi itu di sini, Jumaat. 

Musa berkata, kemudahan Wifi juga membolehkan hasrat kerajaan menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya  pintar, yang memudahkan pengguna melakukan kerja di mana sahaja dan pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan keberkesanan dan produktiviti negeri dan negara.

“Peningkatan penggunaan e-perkhidmatan sektor awam dan swasta juga telah menjadikan        perkhidmatan       dalam talian sebagai satu kebiasaan pada masa kini. Masyarakat  lebih suka mendapatkan maklumat secara dalam talian dan berhibur melalui aplikasi internet yang tersedia,” katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata usaha mewujudkan perkhidmatan Wifi percuma yang bermula  Mei 2016 itu akan meningkatkan kadar celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan masyarakat.

ia juga sebahagian daripada usaha meletakkan Kota Kinabalu setaraf bandar lain dari segi kemudahan       ICT dan akses internet, katanya.

Beliau berkata, kemudahan Wifi di Kota Kinabalu itu adalah hasil usaha sama awam dan swasta, antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Borneo Global Connect Sdn Bhd (BGCSB).
Salleh turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju      memberi peruntukan bagi pembangunan kemudahan WiFi luar bandar Sabah.

Kerajaan pusat akan berbincang dengan kerajaan Sabah mengenai pelaksanaan projek itu supaya ia dapat dijalankan secara lancar, katanya./www.mstar.com.my/niaga

Comments