Ramlee Marahaban Sedia Bertanding Menentang Mana-mana Calon Pembangkang Pada PRU Ke-14


SEMPORNA – Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban bersedia bertanding menentang sesiapa pun calon pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 di daerah Semporna.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bugaya berkata beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kawasan yang sepatutnya ditandingi.

“Tidak menjadi masalah letak saja di mana-mana (kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) dan saya bersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program jalinan masyarakat 2017 anjuran Jabatan Fiqh dan Usul Universiti Malaysia (UM) di sini, hari ini.

Menurut Ramlee yang juga Timbalan Ketua Biro Penerangan UMNO Sabah, sebagai sebahagian daripada barisan pemimpin Semporna adalah menjadi kewajipannya memastikan UMNO Semporna terus berada di landasan betul.

Katanya keutamaan beliau ketika ini adalah memantapkan UMNO supaya menang dalam PRU.

“Yang penting kuatkan parti dan pulihkannya agar UMNO Semporna kekal jadi simpanan tetap,” katanya. BERNAMA

Comments