Penetapan Harga Minyak Secara Mingguan Ketika Ini Adalah Terbaik


SEMPORNA - Penetapan harga petrol dan diesel mengikut kaedah pengapungan terkawal secara mingguan ketika ini adalah langkah terbaik walaupun terdapat cadangan menetapkan harga kepada harian, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.

Beliau berkata melalui kaedah penetapan harga mingguan, rakyat masih mendapat manfaat kerana harga minyak masih munasabah dan terkawal.

“Saya lihat, mengikut kaedah apungan semasa iaitu harga minyak dunia sangat praktikal, kalau harga minyak dunia turun,  maka harga minyak kita turun dan ini akan melegakan pengguna terutama golongan bawahan,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Sangom Pangentoman sempena sambutan Hari Guru peringkat Semporna di sini hari ini.

Namun, Ramlee berkata kerajaan juga kemungkinan sedang mengkaji kaedah lain yang difikirkan dapat membantu memudahkan semua pihak dan rakyat termasuk mempertimbangkan keadah penetapan harga petrol dan diesel secara harian.

“Kerajaan akan memilih mana yang terbaik (mingguan atau harian) dan pakar-pakar kita (kerajaan) mungkin sedang mengkaji sejauh mana keberkesanannya kaedah baharu jika dipraktikkan, kita (kerajaan) menimbang semua  perkara yang boleh meringankan beban rakyat,” katanya lagi

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menolak kemungkinan akan memperkenalkan formula baharu mekanisme penetapan harga petrol dan diesel secara harian. BERNAMA

Comments