Anggota UMNO Sabah Diingatkan Terus Kukuhkan Parti


SEMPORNA - Semua anggota UMNO Sabah perlu terus mengukuhkan parti itu yang menjadi tunjang kepada kerajaan dan sandaran bangsa Melayu serta Bumiputera di negeri ini, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata meskipun UMNO sebuah parti lama, namun perjuangannya membangunkan Melayu serta Bumiputera di negeri ini sentiasa di landasan terbaik dan tiada kesudahan.

“Menikmati kejayaan dan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 71 penubuhannya menjadikan UMNO sebuah parti terunggul dan cabaran besar sentiasa menanti, tetapi penting bagi kita semua bangkit ke hadapan mempertahankan parti yang banyak menabur jasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Desa Perdana di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramlee berkata larian bendera UMNO perlu dijadikan platform mengukuhkan hubungan sesama anggota parti dan bersama-sama memikirkan kaedah terbaik memperkasakan UMNO. BERNAMA

Comments